BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, 1 October 2012

Perkara-Perkara Sunat Pada Hari Jumaat

Assalamualaikum W.B.Q..
 
Buat korang semua hari nie saya nak share perkara-perkara sunat yang dilakukan pada hari jumaat. Perkara tersebut pernah kita lakukan dan tak pernah kita lakukan. Harap dapat memberi info yang berguna buat korang semua. InsyaAllah.. =)

1- Mandi sunat Jumaat dan memakai pakaian yang bersih dan cantik serta bau-bauan.
2- Sunat memakai pakaian yang berwarna putih.
3- Keluar ke masjid dengan nia
t untuk menunaikan sembahyang Jumaat pada seawal waktunya secara berjalan kaki dengan penuh tenang dan sopan disamping membanyakkan membaca zikir, berselawat dan bertahmid kepada Allah.
4- Sunat mengelokkan rupa parasnya dan membersihkan anggota tubuh badan sebelum keluar bersembahyang seperti memotong kuku, misai, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu air-ari, menggosok gigi dan sebagainya.
5- Sunat membanyakkan membaca surah Al Kahfi pada malam Jumaat dan di waktu siangnya.
6- Sunat memperbanyakkan membaca doa dan memohon keampunan dari Allah pada malam dan waktu siangnya.
7- Memperbanyakkan membaca selawat ke atas Nabi s.a.w. pada malam hari dan di waktu siangnya.
8- Melakukan sembahyang sunat 4 rakaat sebelum Jumaat dan 4 lagi selepasnya.
9- Sunat membaca surah al Fatihah, al Ikhlas, al Falaq dan an Nas setiap satunya sebanyak 7x selepas memberi salam sembahyang Jumaat.
10- Disunatkan bagi orang yang mengantuk ketika mendengar khutbah pada hari Jumaat supaya berpindah tempat duduknya.

Semoga info yang tak seberapa ini dapat memberikan kita ilmu bersama. Tabarakallah.. =)

Wassalam.. ^_^

Kesilapan Wanita Dalam BERTUDUNG



Assalamualaikum W.B.Q..
Buat korang semua hari nie saya nak share tentang antara kesilapan dalam BERTUDUNG. Hari tu saya ada tengok MELODI, ada artis wanita nie dalam keadaan berhijab. Tapi cara dia mengguna hijab amat tidak menepati piawaian dalam islam kerana hanya menutup rambut dan telinga sedangkan leher terdedah. Tak salah berfesyen tapi kalau itu caranya, bukan ke cara dia macam menghina islam secara halus? Antara yang dapat saya nampak kesilapan dalam BERTUDUNG ialah..
1- Pakai tudung tapi mengenakan pakaian berlengan pendek.
2- Pakai tudung tapi baju kebarung menampakkan belahan kain.
3- Pakai selendang tapi tidak memakai anak tudung.
4- Pakai tudung tapi menampakkan bentuk tubuh badan.
5- Pakai tudung labuh dan berjubah tapi tidak memakai stokin.
6- Pakai tudung tapi menampakkan sanggul dengan ketara.
7- Pakai selendang tapi hanya menutup kepala dan telinga sedangkan leher dan dada terdedah.
8- Pakai tudung dan mengenakan pakaian berlengan panjang tapi singkat hingga boleh menampak belakang badan jika dia duduk.
9- Pakai tudung tapi rambut yang panjang nampak dari belakang.
10- Pakai tudung tapi buat macam pampers. PAKAI BUANG...



PEACE.. ^_^

Wasssalam.. =)

Tuesday, 4 September 2012

Perutusan Hari Lahir ke 25 Abdul Razak Nordin



Assalamualaikum WBQ..

Pada 4 SEPTEMBER 1987, tepat pada pukul 11.47 pagi bersamaan hari jumaat. Lahirlah bayi yang baru dilahirkan dari pasangan suami isteri Nordin Bin Saeran dan Patimah Binti Ibrahim. Bayi itu diberikan nama Abdul Razak Bin Nordin. Emak, yang pada masa itu berusia 34 tahun bertarung nyawa untuk melahirkan aku. Aku tak dapat bayangkan andai ketika waktu itu aku selamat dan emak syahid. Kau lihat ajak bagaimana pengorbanan emak! Kata emak, ayah mengazankan aku dengan rasa kesyukuran kepada yang maha esa.

Hari ini 25 tahun usia aku, apa sumbangan aku kepada emak dan ayah aku sedangkan mereka masih ada lagi depan mata aku. Walaupun mereka tak harapkan apa-apa dari aku, tapi aku tahu cukuplah bagi mereka aku selamat dan bahagia di dunia dan akhirat. Kata emak, aku nie budak yang boleh diharapkan. Pernah mak kata hari tu, mak tak nak orang lain yang solatkan jenazah mak selain aku tapi andaikata aku tak mampu, aku boleh serahkan dekat imam. Kenapa pulak aku tak mampu? Mak ada 7 orang anak, 6 orang lelaki dan seorang perempuan. Kenapa aku tak boleh pikul tanggungjawab tu? InsyaAllah emak, ajak akan tunaikan andai ajak yang tak pergi dulu. Buat mak dan ayah, ajak sayang sangat kat mak dan ayah. Terima kasih atas kasih sayang selama ini. BuatMu Ya Allah, terima kasih menjadikan aku khalifah yang berada dimuka bumi ini. Solatku, ibadahku, amal jariahku semuanya untukMu..
 
Buat sahabat-sahabat yang mengucapkan selamat hari lahir kepada aku. Terima aksih aku ucapkan. Doakan aku selamat di dunia dan akhirat ye. Doakan aku temui jodoh tau.. Hehe.. :D
 
 
 

Tuesday, 21 August 2012

Pantun Suka Suki Raya

Nurkilan : Abdul Razak Nordin @ Ajak















Cahaya ramadhan berlalu pergi,
Menyambut tibanya Aidilfitri,
Ampun maaf segala ikhlas dari hati,
Semoga ikatan kekal abadi.

Disisir diandam dengan cekap,
Potong rambut pelbagai gaya,
Puasa sebulan sudahlah lengkap,
Kini menyambut Hari Raya.

Ketupat rendang diatas talam,
Tidak dilupa kuih raya,
Berbunyi mercun berdentum dentam,
Riang gembira dihari raya.

Adik tersayang segak bergaya,
Mengait kuih di atas para,
Suasana riang di hari raya,
Bermaaf-maafan riang gembira.

Buah pauh ditengah bendang,
Jadi dagangan ditengah kota,
Saudara jauh datang bertandang,
Bermaaf-maafan sesama kita.

Pasang pelita di sini sana,
Amat meriah riang gembira,
Ramai bertandang di hari raya,
Tersenyum riang sanak saudara.

Membeli mercun di Kedai Pak Ali,
Bermain mercun di tengah padang,
Bila bermain bising sekali,
Di kejar Pak Abu dengan parang.

Aidilfitri hari kemaafan,
Menghapus kesalahan sesama insan,
Memupuk perpaduan sesama jiran,
Mengikat tali keakraban,

Cantik sungguh pakaian isteri,
Tidak berkelip suami memandang,
Meriah sungguh menyambut Aidilfitri,
Sahabat handai datang bertandang.

Berayun buai bayu nyaman,
Kenangan dulu teringat-ingat,
Berduyun-duyun pulang halaman,
Pandu cermat jiwa selamat.

Katak kenyang lalu tertidur,
Gajah pitam lantas terjatuh,
Andai tak sampai tangan menghulur,
Ku pohon keampunan dari jauh.

Gemersik takbir mengundang hiba,
Salam diutus tanda ingatan,
Syawal dinanti menjelang tiba,
Salam diutus pohon kemaafan.

Hari raya paling dinanti,
Boleh makan rendang dan ketupat,
Berjalan raya separuh mati,
Duit raya haram tak dapat.

Kian berlabuh tirai Ramadhan,
Lambaian Syawal kian dinanti,
Luhur hati ikhlas kemaafan,
Semoga kesalahan dimaafi.


Friday, 17 August 2012

Salam Aidilfitri Dari Abdul Razak Nordin



Assalamualaikum W.B.Q..


Berlalunya Ramadan, tibalah pula Syawal untuk kita sama-sama meraikan kemenangan menentang segala hawa nafsu, serta meningkatkan amalan ibadah kita kepada Allah SWT.

Bulan puasa kali ni aku rasa macam hilang semangat sikit. Tak tau kenapa. Update blog pon dah jarang. Mungkin sebab kesihatan yang tak menentu kot, almaklumlah aku kena tukar ubat untuk bulan puasa nie. Jadi badan susah nak terima sikit ubat yang baru. Progress kerja pon slow semacam je. Nak kata banyak main, tak jugak. Nak kata lapar, takde lah lapar sangat. Masih boleh bertahan. Penat? Hurmm.. Entah la. Harap-harap lepas raya ni aku dapat lebih agresif dalam menjalankan tugas. InsyaAllah..

Seperti biasa pada hari raya pertama akan beraya di Shah Alam, dan mungkin akan balik ke rumah Pak Long di Sabak Bernam pada raya kedua. Tapi tak tahu lagi sebab kakak aku tengah sarat mengandung tu. Mak cakap tak nak jalan jauh. Aku ikut je, beraya disisi orang tua aku lagi bermakna. 

Tahun nie buat tahun kedua aku beraya tanpa makwe, agak sedih tapi chill sudah. Aku percaya pada jodoh kerana jodoh itu rahsia Allah. Buat masa nie aku nak berikan fokus kat mak ayah aku je.

Menjelang Syawal yang diraikan, aku ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidifitri kepada semua pembaca blog, dan khususnya kepada semua muslimin dan muslimat seluruh Malaysia dan dunia. Buat Mak, Ayah, Abang-abang dan kakak-kakak, ajak minta maaf kerana banyak melakukan kesilapan sama ada secara langsung mahupun tak. Almaklumlah anak bongsu. Hehe.

Buat sahabat-sahabat yang jauh mahupun yang dekat, maafkan segala salah dan silap sepanjang perkenalan kita, terkasar bahasa, dan apa jua yang menyinggung perasaan anda semua. Sememangnya, kita manusia tak pernah terlepas dari membuat kesilapan.

"Allah menunjukan jalan kebenaran
dengan menurunkan Al-Quran
manusia meraih kebahagiaan
dengan meniti jalan kebenaran
hari lebaran menjadi penuh kebahagiaan
bila para sahabat saya memaafkan
semua kesalahan..."


Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin 2012..
iKhLaS dari : Abdul Razak Bin Nordin @ AJAK 



Thursday, 19 July 2012

Salam Ramadhan Dari Abdul Razak Nordin

Assalamualaikum W.B.Q..



Ramadhan Datang Lagi.. 

Syukur alhamdulillah, dengan berkat keiziananNya yang memberi aku nyawa dan tenaga dapat sekali lagi untuk aku berjumpa dengan bulan yang paling mulia, paling dinanti dan paling barakah iaitu bulan Ramadhan.

Bulan Ramadhan bulan berganda. Setiap apa saja yang dilakukan akan mendapat balasan berganda. Malahan nafsu kita juga turut berganda walaupun pada bulan ini syaitan dirantai oleh Allah. Ini adalah kerana nafsu telah bertapak di hati dan bermaharajalela. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap umat Islam.

Bulan Ramadhan paling dinantikan oleh aku dan keluarga. Hanya di bulan mulia inilah dapatlah aku dan keluarga berkumpul bersama dan menunaikan ibadah bersama-sama di surau. Ya Allah, sesungguhnya bulan Ramadhan adalah pengikat kasih sayang dan jalinan ukhuwah antara keluarga. Ya Allah, harapanku agar kau terima amal dan ibadahku dan kau ketemukanlah aku dengan malam lailatulqadarMu di10 malam terakhir. Amin Amin Ya Rabbal 'Alamin..

Buat Ayah, Mak, Abang-Abang, Kakak, Kakak Ipar, dan Abang ipar, Ampun maaf Ajak pohon andai terkasar kasar bahasa, tersalah perkataan dan terlanjur perbuatan. Buat sahabat-sahabat yang bakal aku sertakan dibawah ini nanti, bersamalah kita menghayati Ramadhan yang sebenar. Sesungguhnya kita hanyalah hamba Allah yang menumpang di dunia dan akan menemuiNya kelak.

Afiqah, Athirah, A'isyah, Ekhwan, Faiz, Epul, Omar, Han, Azim, Usop, Ilan, Iwan, Alip, Anas, Syafiqah, Mardhiah, Amni, Zahura, Wizana, Aisyah, Syakila, Anies, Fatin Rossien, Fatin Hakimah, Wan Nur Fareeda, Najihah, Effa, Nadwa, Syazwani, Isma.

Tak lupa juga buat sahabat-sahabat yang mengenali aku secara langsung dan tidak langsung, Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak dan Selamat Berpuasa!




Ramadhan,
Setiap masa kau ku nantikan,
Setiap detik pasti ku tangiskan,
Bukan tangisan penyesalan,
Tapi keinsafan dalam diri pabila kau menjelma,

Ramadhan,
Kau hanya tiba selepas syaaban,
Kau ku nantikan dengan penuh harapan,
Semangat kau memberiku sejuta pengertian,
Dalam berpaksikan sunnah dan amalan,

Ramadhan,
Kini kau menjelma,
Jiwaku merintih dalam senyuman,
Walaupun kelaparan namun dirimu mengajarku pengorbanan,
Begitu banyak ganjaran yang kau berikan,
Kau ramadhan terindah dalam seribu bulan,

Ramadhan,
Tanpamu tidak ku kenal apa itu ganjaran,
Tanpamu tidak ku kenal apa itu persaudaraan,
Tanpamu tidak ku kenal apa itu permuafakatan,
Tanpamu jua tidak ku kenal apa itu ramadhan..

Selamat Datang Ramadhan Al-Mubarak.. 

Friday, 27 April 2012

Aku Dan Under Cover

Assalamulaikum W.B.Q.. 

Di saat aku menaip nurkilan ini, aku tak tahu apa yang hendak aku katakan. Secara jujurnya aku bersyukur kerana aku kembali semakin mendekatkan diri kepada Maha Pencipta, segala taubat aku kepadaMu Ya Allah aku berharap dapatlah diterima. Aku menangis mengenangkan nasib diri, apalah daya aku hendak menolak takdir dan apalah sangat bebanan yang aku pikul jika aku melihat orang lain yang lebih susah daripada aku. Ujian Allah ada di mana-mana. Allah cuma ingin menguji kekuatan iman kita, adakah kita susah kita bersamaNya dan adakah kita senang kita juga bersamaNya. 

Secara jujurnya aku pernah lalai dan alpa erti kesyukuran kepada Allah, aku pernah diberikan kemewahan yang berlipat kali ganda. Tapi dengan rasa tidak bersyukur dalam sekelip mata aku jatuh dan tiada bantuan di kiri dan kanan aku.. Bila aku tersedar, Ya Allah! Inikah balasan terhadap diriku?  Ya Allah! kembalikan lah kemewahan itu! Aku merintih sekuat-kuatnya di dalam hati aku. Tapi mungkin dengan berdoa dan rintihan sahaja tidak mampu akan memberikan apa yang aku ada dulu. Aku mulakan langkah ku dengan Kalimah Allah. 

Bermula lah kisah dengan mendapat panggilan daripada seorang hamba Allah yang ingin berjumpa dengan aku, aku katakan aku sibuk. Sebenarnya masa itu aku keluar dating dengan ex aku dekat The Mines, Serdang. Dia perkenalkan dirinya sebagai Faizal. Aku tanyakan kepadanya apa yang dia nak? Dia kata ada keje dia nak bagi kat aku dan aku katakan aku tidak berminat serta dengan lantas aku matikan hp aku. 

Balik saja dari The Mines, kira-kira pukul 6.30 petang dapat panggilan lagi. La, Faizal lagi! aku tanyakan apa lagi yang dia nak? dia kata nak jumpa aku. Aku cakap dekat mana? Dan dia katakan di Restoran Ali Corner Seksyen 20, Shah Alam. Okay lah, tapi malam nanti sebab sekarang nie aku penat berjalan dengan pika, ke hulu ke hilir. HAHA.. :'( Dia pun kata okay, jumpa malam nanti.

Aku sebenarnya tak terfikir pun pasal nak jumpa tu dan kerja apa yang dia nak bagi dekat aku. Tepat jam pukul 9.30 malam, Faizal call aku dan katakan dia sudah sampai. Aku pergilah Restoran Ali Corner. Rumah aku dengan Restoran tak jauh pun sebab rumah aku pun dekat seksyen 20 jugak. Secara jujurnya aku tak kenal pun siapa Faizal ni, dan bila aku sampai je ada orang panggil nama aku. JAK!! aku pandang lah.. Dekat dalam hati aku kata, "Erk, siapa kau?" Aku pun pergilah dan bersalam. Dia perkenalkan dirinya, saya Inspektor Faizal. Aku pun terkedu jugak! O.o Aku tanyalah, apahal nie bang? Aku dah takut dah! -__-'

Dimulakan cerita, saya nak tawarkan awak bekerja dengan saya. Kerja apa? Informer dan under cover. Aku tanya balik, ape bende tu? Lalu dia cakap pernah tengok cerita gerak khas the movie tak? aku cakap pernah! Dan dia cakap tengok watak Mazlan Pet Pet. Owh! Aku dah faham, aku cakap kat dia bahaya ni! Dia kata kerja mana yang tak bahaya? mati pun tak kira tempat. Wallaweh! Dia nak bagi aku semangat dengan sebut pasal mati. -__-' 

Aku cakap aku nak fikir dulu, dalam masa sama aku tanya dia mana dapat nombor aku dan mana kenal aku? So, dia cakap dekat aku yang dia dah lama perhatikan aku. LOL! O.o buat lawak pulak polis ni! Tapi yang aku boleh percaya dekat dia bila dia bgtaw aku dekat kedai mana aku selalu lepak dan pukul berapa aku balik. Macam ni lah, secara jujurnya aku memang kalau lepak aku lepak dekat kedai mamak sebab kedai mamak 24 jam. Aku balik kadang-kadang subuh baru sampai rumah. Aku lepak merata tempat dengan kawan-kawan aku. 

Aku takde lah nak fikir panjang pasal tawaran yang dia beri dekat aku. Esoknya aku terus call dia dan katakan aku terima. Dia kenakan syaratkan kepada aku. Hallamak! Aku pulak kena syarat? -__-' Syaratnya aku tidak boleh mendedahkan identiti aku. Okay!! Lepas aku cakap okay je, dia terus keluarkan kertas saiz A4. Aku tanya sape ni? Dia cakap lah ni suspek pecah rumah area Shah Alam, Kes pertama yang aku kendalikan ialah kes pecah rumah! Alhamdulillah, suspek sudah ditangkap, bukti-bukti memang kukuh. Dan suspek dah pun kena penjara. Ini kisah 3 tahun dulu!

Kini aku masih lagi menjalankan tugas-tugas aku macam biasa, banyak kes yang aku dapat sebenarnya dan paling banyak kes dadah dan pecah rumah. Tapi faham-fahamlah bila kes dadah risiko dia tinggi dan tiap kali aku buat under cover, aku dibekalkan dengan baju kalis peluru. Oh ya! mesti korang hairankan kenapa aku dedahkan indentiti aku? sebanarnya aku sudah minta kebenaran dah. Lagi pun aku sudah lama buat kerja ni, dari aku couple dengan pika sampailah kami clash.. :'( Aku memang tak nak bgtaw dia pun apa kerja aku sebab ni rahsia PDRM. Pangkat bawah dari inspektor memang tak tahu aku ni siapa. Kerja aku tak menentu, tak kira masa dan tak kira tempat. Memang tugas aku mencabar, sebab boleh tergadai nyawa tapi inilah yang aku buat selama ini. 

Wassalam.. =)

Thursday, 8 March 2012

Ikhtilat Itu Apa?

Assalamualaikum W.B.Q..



Alhamdulillah, kelmarin di dalam ruangan laman sosial facebook saya ada minta cadangan tajuk ape yang saya nak buat untuk entry terbaru blog saya nie. Alhamdulillah, sahabat facebook saya, Hizb Addeen memberikan cadangan yang bernas iaitu "ikhtilat". Mungkin kita jarang mendengar dan juga jarang untuk kita mengambil berat tentang ikhtilat ini. InsyaAllah saya akan memberikan hujah-hujah dan memberikan apa yang dimaksudkan dengan ikhtilat secara ringkas, terbaik, dan mudah difahami. Seperti diruangan sebelum ini, saya ingin membahasa diri saya ini sebagai "saya" kerana jika sebelum ini saya lebih menggunakan perkataan "aku".

Ikhtilat dalam bahasa lainnya merupakan suatu bentuk pergaulan atau hubungan secara bebas yang melibatkan lelaki dan perempuan yang sama ada di tempat yang sunyi atau di tempat yang terbuka. Ia merupakan suatu ciri pergaulan masyarakat jahiliyyah dan juga berasaskan kepada nilai-nilai dan sistem hidup jahiliyyah itu sendiri. Pergaulan bebas terbentuk dari zaman daulu lagi dan telah di tolak semenjak kedatangan baginda Rasulullah S.A.W. Dan kedatangan baginda telah mengaturkan jalinan pergaulan berlandandaskan Al-Quran, Hadith dan Sunnah.

Namun kini pergaulan bebas ada di mana-mana sahaja tak kira di negara arab, eropah, afrika, mahupun negara kita sendiri. Apa yang penting adalah pembawakan diri kita sama ada kita mampu bergaul berlandaskan syariat islam mahupun diam sahaja bagaikan tiada agama bagi kita. Tepuk dada tanya iman.. Allahuakbar..

Suka untuk saya menerangkan apa itu Ikhtilat dan apa itu Khalwat. Ikhtilat seperti yang saya jelaskan tadi adalah pergaulan bebas antara lelaki dan wanita yang tiada mempunyai sebarang hubungan. Contoh bagi pergaulan ditempat terbuka adalah pasar malam, bank, panggung wayang, sekolah, mahupun di tempat-tempat awam untuk melakukan sebarang urusan. 

Manakala bagi khalwat seperti kita sedia maklum pergaulan bebas dilakukan oleh lelaki dan wanita ditempat yang sunyi yang boleh mendatangkan syak. Antaranya hotel, di dalam kereta, di dalam semak, mahupun di tempat-tempat tersembunyi atas niat mahu melakukan khalwat.

JELAS TAK?

TETAPI, islam itu ada adil dan saksama. Islam itu cukup indah bagi mereka yang memahami apa itu islam. Ikhtilat membenarkan sekiranya mempunyai hajat. Contohnya adalah 

-Menghadiri jemputan kenduri kahwin, tahlil, dan lain-lain lagi.
-Tempat untuk menuntut ilmu.
-Jihad
-Medan dakwah (Amar Maaruf Nahi Mungkar)
-Menziarah orang sakit atau kematian.
-Menunaikan haji dan umrah.
-Menyaksikan hudud dijalankan.

Saya amat tertarik dengan cara yang diamalkan di negeri kelantan. Mereka mencegah dari sebarang kemungkinan yang berlaku. Sekiranya ada sesebuah persembahan baik dari segi hiburan mahupun ilmiah, mereka mengasingkan tempat bagi lelaki dan wanita. Kerana mencegah lagi elok dari menjalankan hukuman.

Kenapa islam mencegah Ikhtiat? Kerana islam sangat berhati-hati dengan sifat semulajadi manusia di atas muka bumi Allah ini. Dengan mencegah dapatlah untuk menutup lubang-lubang kemaksiatan. Cuba kita bayangkan dengan mencegah ia dapat menghindari fitnah yang selama ini menjadi "makanan" manusia setiap hari.

Akhir kalam dari saya, walaupun kita berbilang bangsa dan juga duduk dalam negara demokrasi namun ia bukanlah tiket untuk kita melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh syariat islam. Dan ingin saya tegaskan sekali lagi, saya bukanlah berlagak pandai dalam berbicara bab agama, tapi saya suka untuk mengkaji, membaca, memahami apa itu islam yang sebenar. Nak ke kita apabila orang cakap kita hanya islam pada nama tetapi kita tidak tahu apa itu AMAR MAARUF NAHI MUNGKAR? Fikir-fikirkan, tepuk dada tanya iman... Sekian.

Wassalam.. :)

Tuesday, 6 March 2012

Pantun Rindu Dan Kasih

Nurkilan : Abdul Razak Nordin a.k.a Ajak


Petir berdentum di langit biru,
Selepas awam mendung kelabu,
Kalau sudah dilamun rindu,
Hati terasa bagai tak tentu.

Warna kuning bunga kemboja,
Dalam taman puteri kejora,
Moga rindu sentiasa ada,
Lambang kasih kita berdua.

Dato' Hang Tuah pahlawan melaka,
Namanya masyur seluruh dunia,
Kalau rindu hendak berjumpa,
Di sini kanda selalu ada.

Sungguh cantik waktu senja,
Panorama indah menarik hati,
Jika jiwa sedang bercinta,
Rindu bertaut ikut sekali.

Sedap sungguh air pegaga,
Buat penawar hilang dahaga,
Cemburu datang untuk menduga,
Apakah rindu dalam dilema?

Mak Timah menjual selasih,
Selasih dijual di dalam perahu,
Ku gantung harapan membelai kasih,
Sudikah dinda menyapa rindu?

Ramai orang menjual berangan,
Berangan dari Indera Kayangan,
Siang dan malam menggapai kenangan,
Merindu kasih dalam bayangan,

Bukan hendak meraut selasih,
Cuma mencari harumnya melati,
Bukan hendak mengintai kasih,
Cuma mengutus rindu di hati.

Kelip-kelip api di bangsal,
Anak jiran memasang pelita,
Air mata menitis ke bantal,
Baru ku sedar hati dah cinta.

Hujan lebat semuanya basah,
Sejuk terasa tidak mengapa,
Sudah lama kita berpisah,
Baru kini kita berjumpa.

Burung merpati terbang sekawan,
Terbang mari ke awan biru,
Semenjak berkasih bersama tuan,
Siang malam menanggung rindu,

Bunga kenanga kembang sekaki,
Rupanya molek kelopak mekar,
Sungguhlah lama abang menanti,
Mengapa adik tak beri khabar.

Budak-budak membuang dedak,
Penuh setimba di celah batu,
Berdua tidak, bertiga pun tidak, 
Kasih hamba hanyalah satu.

Rama-rama selembut baldu, 
Bebas laksana layang-layang, 
Sama-sama menanggung rindu, 
Tidur tak lena makan tak kenyang.

Monday, 5 March 2012

Perbezaan Ahli Sunnah Dan Syiah

Assalamualaikum W.B.Q..

Terlebih dahulu ingin saya bahasakan diri saya ini sebagai "saya" kerana jika sebelum ini saya lebih gemar bahasa diri ini "aku" tapi diruangan Perbezaan antara Ahli Sunnah dan Syiah, saya perlu meletakkan diri saya serendah-rendahnya. Siapalah saya uintuk membicarakan tentang bab agama. Saya hanyalah insan biasa yang yang hanya mampu memberikankan pandangan yang untuk dikongsi bersama.

Suka untuk saya kongsikan bersama diruangan ini betapa umat islam perlu mengetahui apa itu Ahli Sunnah, dan apa itu Syiah. Seringkali di dalam akhbar, di internet, mahupun di mana-mana sahaja isu ini pasti akan dibangkitkan ataupun dibicarakan. InsyaAllah, saya akan berikan yang terbaik dan secara ringkas.

Ahli sunnah memegang teguh kepada 5 perkara (1) - Mengucap dua kalimah syahadah, (2) - Solat 5 waktu sehari semalam, (3) - Puasa, (4) Zakat, (5) Haji.

Syiah juga memegang teguh kepada 5 perkara (1) - Solat 5 waktu sehari semalam, (2) - Puasa, (3) - Zakat, (4) - Haji, (5) - Jihad.

Ahli Sunnah sepakat bahawa Al-Quran ada kebenarannya dan terpelihara dari sebarang tambahan atau pun kekurangan. Mereka beriman dengan setiap huruf darinya,dan mereka beriman bahawa sesungguhnya ia adalah kalam Allah bukan baru dan bukan makhluk. Ianya terpelihara dari segala keburukan dan adalah menjadi sumber utama kepada setiap kepercayaan-kepercayaan muslimin dan urusan hidup mereka dan juga pekerjaan seharian mereka.

Manakala bagi syiah pula, Mereka meragui kebenarannya iaitu Al-Quran, ada yang telah ditambah dan dikurangkan. (Sebahagian dari mereka menafikan tuduhan ini tetapi kita tidak mungkin mengambil kira ke atas penafian tersebut dengan sebab iktikad mereka yang mengamalkan taqiyah). Jika berlawanan dengan iktikad, mereka mentafsirkan dengan iktikad mereka. Pendapat imam-imam mereka adalah antara sumber utama di sisi mereka. Dan juga antara zikir-zikir ada yang mereka tidak bersetuju hingga mereka mengatakan karut.

Suka untuk saya membicarakan tentang sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W, Ahli sunnah bersepakat adalah wajib baginya untuk menghargai dan meredhai ke atas sahabat-sahabat baginda S.A.W. Ahlul Sunnah menganggap bahawa pertelingkahan yang terjadi antara mereka adalah berpunca dari perselisihan pendapat hasil dari ijtihad masing-masing yang dikeluarkan dengan ikhlas dan kejujuran, serta segala keadaan yang mempengaruhi mereka berbuat demikian telah pun berlalu. Tidak dibenarkan kita menaruh dendam sepanjang zaman mereka. Sesungguhnya merekalah golongan yang dipuji Allah berkali-kali. Oleh itu, tidak dibenarkan sesiapa pun mencela mereka selepas daripada itu. Sesungguhnya melalui usaha mereka kesemualah agama Islam itu turun-temurun dari Rasulullah hingga sampai kepada kita.


Manakala bagi Syiah pula agak berlainan, mereka berpendapat bahawa para sahabat sesungguhnya telah kafir selepas kewafatan Rasulullah S.A.W kecuali sebilangan kecil yang bilangannya tidak melebihi bilangan jari-jari tangan. Mereka meletakkan Saidina Ali di tempat yang terlampau istimewa. Sebahagian mereka berpendapat : bahawa dialah yang telah diwasiatkan sebagai pengganti Rasulullah saw. Sebahagian lain pula menganggapnya sebagai nabi dan ada yang menganggapnya sebagai tuhan. Mereka menghukum orang-orang muslim menurut pendapat-pendapat mereka masing-masing ; sesiapa yang memilih khalifah-khalifah sebelum Ali, maka ia zalim, atau kafir atau fasiq ; dan begitulah halnya dengan sesiapa yang menentang anak cucu-cicitnya turun-temurun.


Sebagai seorang pemimpin dan bakal untuk memimpin, Ahli Sunnah berpendapat Berpendapat bahawa sesebuah negara Islam itu diperintah oleh seorang khalifah yang dipilih antara orang-orang muslim. Disyaratkan agar khalifah itu mempunyai kebolehan yang mencukupi iaitu seperti seorang yang berakal, berada di atas jalan yang lurus, berilmu dan diketahui ramai akan kebolehan dan amanahnya serta kebolehan dalam memikul tanggungjawabnya. Ia dipilih hanya oleh dan dari orang-orang yang mempunyai kuasa memilih dalam masyarakat muslimin dan mereka melucutkan kekhalifahannya jika didapati ia tidak berlaku adil atau keluar dari hukum-hukum Al-Quran dan As-Sunnah. Semua muslimin wajib taat kepadanya dan kekuasaan memerintah pada sisinya mestilah dianggap sebagai satu tanggungjawab dan satu perkara yang akan dipersoal (oleh Allah dan kaum muslimin) dan bukanlah satu kemuliaan atau hasil keuntungan.

Manakala bagi Syiah, mereka berpendapat kuasa pemerintahan adalah warisan turun-temurun untuk Saidina Ali dan anak-anak Fatimah. Terdapat perselisihan pendapat yang banyak antara mereka berkenaan warisan ini. Dengan pendapat mereka yang sebegini cara, mereka sama sekali tidak melantik seorang pemerintah yang bukan dari keturunan Ali. Tetapi, apabila kehendak dan harapan mereka ini tidak dapat dipraktikkan atau dilaksanakan apabila keturunan Ali ini terputus dengan sebab kematian Muhammad al-Mahdi, imam mereka yang kedua belas yang wafat semasa kecil lagi (semasa berumur 8 bulan atau 2 atau 5 tahun ; mereka telah mencipta satu pendapat baru iaitu pendapat “ar-raj’ah” atau “kembali semula”). Maksud mereka ialah imam mereka yang terakhir dan digelar “al-Qaaem” yang mati semasa kanak-kanak ini akan datang kembali pada akhir zaman. Beliau akan keluar dari “Gua as-Sirdab” lalu menyembelih kesemua pihak lawan politiknya. Menurut mereka lagi, imam ini akan mengembalikan hak-hak golongan syiah yang telah dirampas dari mereka oleh golongan-golongan lain sepanjang kurun-kurun yang telah lalu.

Mungkin ramai yang bertanyakan, muslim ke puak-puak Syiah tu? sebenarnya soalan nie rumit dan sulit untuk dijawab. Senang cerita, tepuk dada tanyalah iman. Ingin saya tegaskan sekali lagi, saya bukanlah menunjuk pandai ataupun berlagak pandai, apatah lagi untuk menyentuh isu-isu sensitif. Bagi mereka yang berpegangan wahabi di Malaysia, ingatlah mazhab kita hanyalah mazhab Imam Syafie. Berpegang teguhlah kepada Al-Quran, Hadith, dan Sunnah. Saya ingin memohon maaf andai tersalah dari segi pemahaman. Almaklum lah, UPSR dulu PEMAHAMAN dapat B.. T_T

Wassalam.. :)

Tuesday, 28 February 2012

Bingkisan Hati



Sesungguhnya aku amat serba salah untuk membuat keputusan bagaimana untuk meluahkan cetusan luahan rasa hati kepadamu. Mungkin dalam pada yang sama aku sedar siapa diri aku yang sebenarnya.

Adakah aku harus menulis nurkilan ini melalui blog aku atau berdepan sahaja dengan dirimu. tapi bila aku fikir sedalam-dalamnya belum tentu aku memiliki kekuatan untuk bertentang mata walaupun hampir setiap hari kita berhubung melalui telefon.

Seandainya coretan aku ini menyinggung perasaan hatimu, seribu kemaafan dariku khas buatmu.. Perasaan cinta adalah fitrah manusia. Tapi aku takut untuk bercinta kerana aku tak yakin dengan diri aku sama ada aku bercinta hanya kerana nafsu ataupun untuk memilikimu hanya kerana Allah.

Hingga saat ini aku tidak mengerti kenapa aku terlalu baik terhadapmu, mungkin sifat diriku yang mana ibu dan ayahku mendidik aku supaya berbuat baik kepada semua orang. Ah, sungguh risau hati aku bila aku tersalah cakap tau membuat salah kepadamu kerana aku tak sanggup melihat kau teringgung, apatah lagi jika dirimu mendiamkan diri. Tak tentu arah aku!

Pernah suatu hari pabila aku di dalam wad, kau berikan masa kau kepadaku. Walaupun kita jauh tapi kau sentiasa menghubungi diriku untuk mengetahui perkembangan diriku. Bermula bertanya khabar, kau mengambil berat tentang diriku sehingga membuatkan aku tertanya-tanya.

Tidak terhenti disitu, aku dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena kepada diriku. Ingin aku meluahkan kepada kau yang aku inginkan sesuatu perhubungan yang jauh dan lebih mesra tapi aku kena fahami apa itu istilah bercinta. Mungkin kau kini bercinta dengan orang lain tapi aku? Pabila kau dan aku berhubung seringkali kau meluahkan rasa kecewa kau terhadap lelaki itu yang tidak menghargai diri kau. 



Tapi apa yang mampu aku katakan walaupun aku ingin bersama kau, aku ingin bercinta dengan kau. Mungkin ini membuatkan aku perlu membawa cermin di mana-mana supaya aku dapat cerminkan diri aku sendiri. Yang terdaya buatku hanyalah menenangkan kau dan memberikan kau nasihat. Mungkin sebagai seorang sahabat, itu yang terbaik untuk aku lakukan.

Di solatku,  aku berdoa agar perasaan sayangku ini tidak melambai-lambai dan melangkaui cintaku kepadaNya. Tapi aku semakin takut dengan kehadiran sayangku ini adalah satu anugerah ataupun menguji keimanan diriku. Allah...

Aku rela dengan persahabatan ini dan aku rela untuk berkorban demi melihat kau gembira dalam meneruskan perjuangan yang suci yang semakin jauh. Aku sentiasa memberikan doa supaya mengiringi di mana sahaja kau pergi dan apa sahaja situasi. Dan aku sentiasa berdoa agar kita berjaya mengecapi kejayaan cemerlang demi agama, keluarga, negara, dunia serta akhirat kelak. Semoga kita kekal menjalinkan jalinan ini. Ukhuwah fillah abadan abada..

Nurkilan : Abdul Razak Nordin a.k.a Ajak


Monday, 27 February 2012

JANGAN JANGAN JANGAN

Jangan ditanam padi di seberang
Jangan menghuma di puncak bukit
Jangan tak kenang budinya orang
Jangan dilupa walau sedikit

Jangan di daki Gunung Tahan
Jangan pergi tanpa teman
Jangan lupa kasihnya tuhan
Jangan bersedih menerima ujian

Jangan jadi rindu bayangan
Jangan rasa selalu dipendam
Jangan dibiar marah berpanjangan
Jangan disuburkan benci dan dendam

Jangan dilupa kasih sayang ibu beri
Jangan jadi Tenggang tak mengenang budi
Jangan ditangisi nasibnya diri
Jangan dikesal apa yang terjadi

Jangan berenang dalam perigi
Jangan dibuar air di baldi
Jangan dikenang yang sudah pergi
Jangan dirindu orang tak sudi

Jangan duduk tepi jalan
Jangan duduk di atas batang
Jangan dirindu kepada bulan
Jangan ditanya ke mana bintang

Friday, 24 February 2012

Kisah Hidup Aku

Assalamualaikum W.B.Q.. :)

Benar kata mak, bila kita makin membesar dan usia kita makin berganjak kita akan selalu menghadapi ujian dan dugaan tak kira di mana kita dan juga situasi kita. Aku tak lepas dari semua tu, bagi aku apa saja rintangan yang mendatang aku akan akan redha dan pasrah dengan ketentuan. Bukan bermaksud aku tunduk, tapi bagi aku hidup perlukan pengorbanan dan juga sentiasa berserah diri pada yang maha esa. Tiada masalah yang tiada penyelesaiannya, bak kata orang tak basah bumi kalau tak ditimpa dek hujan.


Aku bukanlah dari keluarga senang dan aku bukanlah dari keluarga yang susah, bagi aku nikmat hidup akan lebih selesa jika kita dapat bersama dengan keluarga, rumah kecik bukan 1 halangan bagi aku dan keluarga. Walaupun kami seramai 9 beranak duduk dalam 1 rumah yang sempit, adakalanya makan nasi, ikan masin dengan kicap. Bagi aku tu pengalaman yang tak dapat aku lupakan. Bukan aku malu, kalau aku malu aku takde nak tulis kat blog aku, HAHA.. Bagi aku, itu salah 1 untuk aku dan adik beradik aku perbaiki taraf hidup kitorang semua. Kitorang tak pernah merungut makan takde lauk yang special.. Ok, yang tu aku tipu! Aku sorang je yang merungut, almaklumlah anak bongsu! HAHA.. :D

1998


Sebenarnya, ramai yang tanya aku nape aku suka berpolitik dan nape aku tak suka kerajaan Barisan Nasional (BN), Hmm.. Sebenarnya aku tak suka bersebab, pokok tak kan bergoyang kalau angin tak menggoncangkannya. Sekitar tahun 1998 semasa pilihanraya umum Malaysia. Ayah aku berkempen untuk PAS dan Parti Keadilan Nasional (Kini Parti Keadilan Rakyat), dan pangkah pun pembangkang. Jadi kerajaan dapat tahu yang ayah aku pangkah pembangkang dan kerajaan tahan gaji ayah aku selama 4 bulan. Cuba korang bayangkan, kami sekeluarga makan dan minum melalui hasil gaji yang ayah dapatt tapi bila kena tahan, apa kami anak beranak nak makan? Masa tu mak dgn adik beradik menangis. Aku yang tak tahu pape pasal pun menangis. Aku bukan menangis ape, cuma menangis lapar, bila agaknya mak aku nak masak! HAHA.. Masa tu BN kalah teruk sebab mungkin gelombang reformasi Anwar Ibrahim. Sepanjang ayah tak dapat gaji, aku dengan kakak cari botol dengan tin pada waktu malam dan barang2 tu mak jual. Abang2 aku pulak ade yang bekerja kilang. Gaji kilang masa tu RM250. Tak cukup nak bertahan sampai sebulan untuk kami 9 beranak. Bila lama kelamaan, aku jadi faham ape tu politik. Aku tak suka politik yang membinasakan rakyat. Bagi aku semua tu BODOH! Selama 4 tahun ayah tak dapat kenaikan gaji dan pangkat sampailah pilihanraya umum seterusnya, untuk sesuap nasi, ayah pangkah BN. Masa tu aku dah faham dah apa itu politik sebab dah naik sekolah menengah. Cuma aku terkilan dengan sistem kerajaan yang kata undi adalah rahsia dan rakyat yang menentukan. Untuk mereka yang bertanya sebab ape aku tak suka kerajaan, inilah antara jawapannya.



Sekitar hidup aku dalam bersahabat, aku pernah titipkan nurkilan untuk aku dan sahabat2 tahun 2011 (pandai2 lah korang cari) :D.. Aku memang suka bersahabat, tapi aku takde ramai sahabat yang sanggup bersusah senang dengan aku. Aku seorang yang happy go lucky, aku boleh buat orang tersenyum. Bagi sahabat2 baik aku, dorang faham dengan cara aku. Cara aku senang je, bila kita jumpa sahabat baru jangan kita lupa sahabat lama. Aku sorang yang pentingkan sahabat, aku buat ape saja untuk sahabat2 baik aku. Tak kesahlah jika ada kematian dalam keluarga ataupun majlis kenduri, pasti aku turun dari mula sampai habis. Aku pernah bergaduh dengan sahabat2 aku, aku pernah bermasam muka dengan sahabat2 aku, aku pernah touching dengan sahabat2 aku. Tapi ibarat air dicincang tak kan putus, kami pergi sekolah pun naik basikal sama2, kadang2 kalau hujan ayah aku hantar dan balik ayah sahabat aku amik. Nak gaduh lama2 pun nak buat ape. Dunia nie kecik je, yang penting bila dah besar kami semua akan tetap bersama cuma jalan hidup je berlainan. Itulah pentingnya persahabatan antara aku dan sahabat2 aku. Dan bagi aku kesah hidup aku tak kan terhenti selagi aku masih ada keluarga dan sahabat2. Jika aku pergi mengadap illahi dahulu sebelum mereka, cerita dan kesah aku pasti akan menjadi ingatan buat mereka.. :)

Pasal percintaan pulak, No Comment!! Bye.. =D

Wassalam.. :)

Tuesday, 21 February 2012

Ujian Terhadap Aku

Assalamualaikum W.B.Q..

Pada 23 Januari 2011 tarikh yang aku tak kan dapat lupakan. Jika orang lain ingat akan tarikh ulangtahun dan juga tarikh2 yang mengembirakan tapi bagi aku, tarikh tu amat menyentap semangat aku. Bertempat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), doktor mendapati aku menghidap kanser otak tahap 1. Saat doktor menerangkan kat aku, aku senyum je sebab aku rase doktor main2. Tapi bila doktor cakap dia serius, muka aku berubah. Aku datang ke HKL disebabkan aku selalu pening yang teramat sangat dan pengsan. Jadi, aku dapatkan rawatan. Aku nak tahu nape aku kerap pengsan. Bila doktor cakapkan aku banyak berfikir, dan selalu stress. Itu adalah salah satu sebab virus ada kat otak aku. Doktor cakap kat aku, jangan banyak berfikir, makan ubat ikut masa yang ditetapkan. Doktor cakap jangan risau, baru tahap 1, potensi untuk sembuh cerah. Bagi aku mungkin doktor nak sedapkan hati aku je. Sebelum aku balik, aku sampaikan pesanan kepada doktor supaya rahsiakan daripada keluarga aku. Bagi aku, aku buat macam takde pape je sebab aku tak nak stress, aku tak nak banyak berfikir dan yang penting aku tak nak keluarga aku tahu yang aku ada kanser. Sepanjang 3 bulan sekali aku berjumpa dengan doktor untuk buat chemotherapy.

Kini sudah setahun aku menghidap sakit kanser dan masih menjalani chemotherapy di HKL, ada lah juga kawan2 aku yang dah tahu aku hidap kanser, peringatan aku kat dorang hanya 1. Jangan sampai keluarga aku tahu. Biarlah aku hadapi sorang diri, bagi aku jika Allah hendak tarik nyawa aku, biarlah dengan aku tersenyum. Aku nak balas jasa kedua mak ayah aku. Aku tak nak dorang risau. Terima kasih Ya Allah dengan ujian yang kau berikan kepada hambaMu ini. Aku tahu, kau memberikan aku sakit dan kau jua yang mampu menyembuhkannya. Aku hanya mampu berusaha. Dengan ujianMu ini, makin aku mendekatkan diriku denganMu Ya Allah.

Kawan2 yang tahu akan kanser yang aku hidap nie tak putus2 memberikan aku semangat, dorang cakap aku kena kuat! Ingat Allah selalu! Aku tahu dorang pun tak sanggup nak tengok aku tanggung sorang diri. Thank's a lot my friend. Tapi andai kata merebak ke tahap 2, aku anggap ia sudah suratan takdir. Sekian.. :)

Wassalam.. :)

Monday, 13 February 2012

Boikot Valentine's Day

Assalamualaikum W.B.Q..



“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti prasangka belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).”
(Surah Al-An’am : 116)

Valentine Day adalah suatu perayaan yang berdasarkan kepada pesta jamuan 'supercalis' bangsa Romawi kuno di mana setelah mereka masuk Agama Nasrani (kristian), maka berubah menjadi 'acara keagamaan' yang dikaitkan dengan kematian St. Valentine.

Tujuan mencipta dan mengungkapkan rasa kasih sayang di persada bumi adalah baik. Tetapi bukan seminit untuk sehari dan sehari untuk setahun. Dan bukan pula bererti kita harus berkiblat kepada Valentine seolah-olah meninggikan ajaran lain di atas Islam. Islam diutuskan kepada umatnya dengan memerintahkan umatnya untuk berkasih sayang dan menjalinkan persaudaraan yang abadi di bawah naungan Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Bahkan Rasulullah s.a.w. bersabda :“Tidak beriman salah seorang di antara kamu sehingga ia cinta kepada saudaranya seperti cintanya kepada diri sendiri”.


Harus diingatkan, orang kafir akan terus menyesatkan kita tanpa rasa berputus asa. Dan kita jangan sesekali tunduk kepada mereka, jika kita tunduk maka iman kita goyah dan neraka pasti akan menanti. Perbanyakkan amal ibadat, jika kita jaga Allah, Allah pasti akan jaga kita. Tepuk dada, tanya iman.

Wassalam.. :)


Sunday, 5 February 2012

Selamat Menyambut Maulidur Rasul

Assalamulaikum WBQ..


Persefaman Asas Perpaduan Ummah..

Itulah tema Malaysia pada Sambutan Maulidur Rasul 1432 Hijrah, 12 Rabiulawal 4133H bersamaan 15/2/2012 (Ahad) :D.. Alhamdulillah, dengan sambutan maulidur rasul ini dapat aku untuk merenung kembali ke zaman sirah nabi junjungan kita iaitu Nabi Muhammad SAW. Serba sedikit dan Segala pengorbanan Nabi Muhammad SAW akan aku titipkan di sini agar dapat kita bersama2 memahami apa itu sambutan Maulidur Rasul.

Sesungguhnya, keistimewaan sambutan Maulidur Rasul ini amat berkait rapat dengan keunggulan dan kemuliaan baginda Rasulullah SAW. Menerusi Al-Quran Allah SWT sendiri merakamkan bahawa diri Rasulullah SAW itu adalah 'cahaya'. Inilah cahaya yang telah menerangi kebenaran. Melalui 'cahaya' baginda SAW ini, Allah telah zahirkan agama islam sebagai petunjuk buat kebahagian manusia sejagat. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Maidah ayat ke-15, yang maksudnya :

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah dan sebuah kitab (Al-Quran) yang jelas keterangannya."


Berikut, Allah telah menerangkan bahawa beliau telah mengangkat baginda Rasulullah SAW sebagai ikon untuk manusia seperti kita, tapi kita alpa dan kebodohan kita amat terserlah apabila mengagungkan Artis2 baik dari luar negara mahupun dalam negara sebagai ikon. Kita skrg lebih kenal artis daripada Rasulullah, lebih menyambut hari valentine daripada menyanjung Rasulullah. Pelik! Pelik! Seseorang itu tidak akan menyambut kelahiran Rasulullah SAW jika tiada perasaan cinta terhadap baginda. Malahan sesetengahnya langsung tidak mempedulikan Rasulullah SAW, seolah-olah tiada apa-apa keistimewaan dengan kelahiran dan pengutusannya. Menyedihkan lagi, sebahagian daripada umat Islam lebih mengingati kelahiran paderi 'St. Valentino ' daripada mengingati Rasulullah SAW, lebih mengingati biodata para artis daripada biodata Rasulullah SAW. Beginikah kecintaan kita kepada seorang kekasih dan utusan Allah SWT? Justeru itu kita harus berasa bertanggungjawab untuk memaparkan biodata dan kronologi hidup Baginda SAW untuk tatapan dan ingatan kita bersama agar kita lebih mencintai kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW.

Biodata Baginda Rasulullah SAW 

Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
Tarikh Lahir : Waktu subuh, hari isnin 12 rabiulawal bersamaan 20 april 571 masehi tahun gajah.
Tempat Lahir : Rumah Abu Tallib, Makkah Al-Mukarramah.
Nama Bapa : Abdul Muttalib bin Hashim.
Nama Ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf.
Pengasuh pertama : Barakah Al-Habsyiyyah (Digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW.)
Ibu susuan pertama : Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).
Ibu susuan kedua : Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali Halimah As-Saadiah. Suaminya bernama Abu Kabsyah).

USIA 5 TAHUN

Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalam hatinya.

USIA 6 TAHUN

Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa ' (sebuah kampung yang terletak di antara Makkah dan Madinah). 
Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.


USIA 8 TAHUN

Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).

Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan. Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN

Terlibat dalam peperangan Fijar . Ibnu Hisyam di dalam kitab ' Sirah ' ,jilid1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja. Menyaksikan ' perjanjian Al-Fudhul ' perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah.

USIA 25 TAHUN

Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijahbinti Khuwailid Al-Asadiyah. Perjalanan ke Syam ditemani oleh Ma isa rah; lelaki suruhan Khadijah. 
Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

USIA 35 TAHUN

Banjir besar melanda Makkah dan meruntuhkan dinding Kaabah.
Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan pendudukMakkah.
Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ' Hajarul-Aswad ' ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakanbatu tersebut.

USIA 40 TAHUN

Menerima wahyu di gua Hira ' sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasulakhir zaman.

USIA 53 TAHUN

Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu BakarAl-Siddiq. 
Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.

USIA 63 TAHUN

Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11Hijrah/ 8 Jun 632 Masihi.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW
§ Khadijah Binti Khuwailid.
§ Saudah Binti Zam'ah. 
§ Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar). 
§ Hafsah binti ' Umar (anak Saidina ' Umar bin Al-Khattab). 
§ Ummi Habibah Binti Abu Sufyan. 
§ Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah). 
§ Zainab Binti Jahsy. 
§ Maimunah Binti Harith. 
§ Safiyah Binti Huyai bin Akhtab. 
§ Zainab Binti Khuzaimah (digelar ' Ummu Al-Masakin 'Ibu Orang Miskin')

ANAK-ANAK RASULULLAH SAW

1. Qasim 
2. Abdullah 
3.. Ibrahim 
4. Zainab 
5. Ruqaiyah 
6. Ummi Kalthum 
7. Fatimah Al-Zahra'

ANAK TIRI RASULULLAH SAW

Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).

Dengan kenyataan yang tidak seberapa ini dapatlah kita sedikit sebanyak mengetahui latar belakang baginda SAW. Buat sahabat2 yang beragama Islam, jagalah Islam di mana sahaja kita berada. Malu kita jika bangsa yang beragama lain bertanyakan kepada kita tapi kita tidak tahu untuk menerangkannya. Sesungguhnya hanya Islam sahaja yang akan kekal di tidak kira di mana kita berada mahupun di dunia ataupun di akhirat kelak. Dan Nabi Muhammad tetap menjadi yang teragung di atas muka bumi ini. Allahuakbar!

Salam Maulidur Rasul 1433 Hijrah.. :)
Wassalam.. :D

Saturday, 21 January 2012

Sajak Islam - Di manakah Ilmu?

Nurkilan : Abdul Razak Nordin a.k.a Ajak

Bermula sejarah di Gua Hirak,
Nabi terakhir mendapat wahyu,
Wahyu pertama , Iqra' ,
Menyuruh membaca.

Manakah dia ilmu di dada?
Adakah hilang begitu saja?
Apalah guna ilmu di dada,
Jika hatimu masih berbecak,
Lumpur dosa masih meloyakan,
Terpulanglah padamu,
Untuk membersihkan.

Sentuhan iman tentunya menyegarkan,
Tanpanya ilmu seharusnya memesongkan,
Kerana tanpa tujuan,
Tanpa iman,
Seolah memberi permata yang indah,
Pada si jahil yang menyangka,
Permata yang indah dibuat mainan.

Bebaskanlah dirimu dari penjara kejahilan,
Penjara kejahilan tidak mengenal mangsa,
Walaupun dirimu lulusan menara gading,
Ataupun penggarap kitab kejahilan,
Penjara kejahilan sentiasa mengejar,
Siapa yang lalai menjadi mangsa,
Siapa yang insaf gembira merdeka.

Fardhu `ain,
Fardhu kifayah,
Tuntutlah keduanya,
Amalkanlah keduanya,
Agar dirimu sejahtera,
Agar hidupmu ditiup bayu,
Bayu ketenangan , bayu kegembiraan,
Di bawah petunjuk,
Yang Maha Esa.