BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, 6 March 2012

Pantun Rindu Dan Kasih

Nurkilan : Abdul Razak Nordin a.k.a Ajak


Petir berdentum di langit biru,
Selepas awam mendung kelabu,
Kalau sudah dilamun rindu,
Hati terasa bagai tak tentu.

Warna kuning bunga kemboja,
Dalam taman puteri kejora,
Moga rindu sentiasa ada,
Lambang kasih kita berdua.

Dato' Hang Tuah pahlawan melaka,
Namanya masyur seluruh dunia,
Kalau rindu hendak berjumpa,
Di sini kanda selalu ada.

Sungguh cantik waktu senja,
Panorama indah menarik hati,
Jika jiwa sedang bercinta,
Rindu bertaut ikut sekali.

Sedap sungguh air pegaga,
Buat penawar hilang dahaga,
Cemburu datang untuk menduga,
Apakah rindu dalam dilema?

Mak Timah menjual selasih,
Selasih dijual di dalam perahu,
Ku gantung harapan membelai kasih,
Sudikah dinda menyapa rindu?

Ramai orang menjual berangan,
Berangan dari Indera Kayangan,
Siang dan malam menggapai kenangan,
Merindu kasih dalam bayangan,

Bukan hendak meraut selasih,
Cuma mencari harumnya melati,
Bukan hendak mengintai kasih,
Cuma mengutus rindu di hati.

Kelip-kelip api di bangsal,
Anak jiran memasang pelita,
Air mata menitis ke bantal,
Baru ku sedar hati dah cinta.

Hujan lebat semuanya basah,
Sejuk terasa tidak mengapa,
Sudah lama kita berpisah,
Baru kini kita berjumpa.

Burung merpati terbang sekawan,
Terbang mari ke awan biru,
Semenjak berkasih bersama tuan,
Siang malam menanggung rindu,

Bunga kenanga kembang sekaki,
Rupanya molek kelopak mekar,
Sungguhlah lama abang menanti,
Mengapa adik tak beri khabar.

Budak-budak membuang dedak,
Penuh setimba di celah batu,
Berdua tidak, bertiga pun tidak, 
Kasih hamba hanyalah satu.

Rama-rama selembut baldu, 
Bebas laksana layang-layang, 
Sama-sama menanggung rindu, 
Tidur tak lena makan tak kenyang.

0 comments: