BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, 21 August 2012

Pantun Suka Suki Raya

Nurkilan : Abdul Razak Nordin @ Ajak















Cahaya ramadhan berlalu pergi,
Menyambut tibanya Aidilfitri,
Ampun maaf segala ikhlas dari hati,
Semoga ikatan kekal abadi.

Disisir diandam dengan cekap,
Potong rambut pelbagai gaya,
Puasa sebulan sudahlah lengkap,
Kini menyambut Hari Raya.

Ketupat rendang diatas talam,
Tidak dilupa kuih raya,
Berbunyi mercun berdentum dentam,
Riang gembira dihari raya.

Adik tersayang segak bergaya,
Mengait kuih di atas para,
Suasana riang di hari raya,
Bermaaf-maafan riang gembira.

Buah pauh ditengah bendang,
Jadi dagangan ditengah kota,
Saudara jauh datang bertandang,
Bermaaf-maafan sesama kita.

Pasang pelita di sini sana,
Amat meriah riang gembira,
Ramai bertandang di hari raya,
Tersenyum riang sanak saudara.

Membeli mercun di Kedai Pak Ali,
Bermain mercun di tengah padang,
Bila bermain bising sekali,
Di kejar Pak Abu dengan parang.

Aidilfitri hari kemaafan,
Menghapus kesalahan sesama insan,
Memupuk perpaduan sesama jiran,
Mengikat tali keakraban,

Cantik sungguh pakaian isteri,
Tidak berkelip suami memandang,
Meriah sungguh menyambut Aidilfitri,
Sahabat handai datang bertandang.

Berayun buai bayu nyaman,
Kenangan dulu teringat-ingat,
Berduyun-duyun pulang halaman,
Pandu cermat jiwa selamat.

Katak kenyang lalu tertidur,
Gajah pitam lantas terjatuh,
Andai tak sampai tangan menghulur,
Ku pohon keampunan dari jauh.

Gemersik takbir mengundang hiba,
Salam diutus tanda ingatan,
Syawal dinanti menjelang tiba,
Salam diutus pohon kemaafan.

Hari raya paling dinanti,
Boleh makan rendang dan ketupat,
Berjalan raya separuh mati,
Duit raya haram tak dapat.

Kian berlabuh tirai Ramadhan,
Lambaian Syawal kian dinanti,
Luhur hati ikhlas kemaafan,
Semoga kesalahan dimaafi.


Friday, 17 August 2012

Salam Aidilfitri Dari Abdul Razak Nordin



Assalamualaikum W.B.Q..


Berlalunya Ramadan, tibalah pula Syawal untuk kita sama-sama meraikan kemenangan menentang segala hawa nafsu, serta meningkatkan amalan ibadah kita kepada Allah SWT.

Bulan puasa kali ni aku rasa macam hilang semangat sikit. Tak tau kenapa. Update blog pon dah jarang. Mungkin sebab kesihatan yang tak menentu kot, almaklumlah aku kena tukar ubat untuk bulan puasa nie. Jadi badan susah nak terima sikit ubat yang baru. Progress kerja pon slow semacam je. Nak kata banyak main, tak jugak. Nak kata lapar, takde lah lapar sangat. Masih boleh bertahan. Penat? Hurmm.. Entah la. Harap-harap lepas raya ni aku dapat lebih agresif dalam menjalankan tugas. InsyaAllah..

Seperti biasa pada hari raya pertama akan beraya di Shah Alam, dan mungkin akan balik ke rumah Pak Long di Sabak Bernam pada raya kedua. Tapi tak tahu lagi sebab kakak aku tengah sarat mengandung tu. Mak cakap tak nak jalan jauh. Aku ikut je, beraya disisi orang tua aku lagi bermakna. 

Tahun nie buat tahun kedua aku beraya tanpa makwe, agak sedih tapi chill sudah. Aku percaya pada jodoh kerana jodoh itu rahsia Allah. Buat masa nie aku nak berikan fokus kat mak ayah aku je.

Menjelang Syawal yang diraikan, aku ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidifitri kepada semua pembaca blog, dan khususnya kepada semua muslimin dan muslimat seluruh Malaysia dan dunia. Buat Mak, Ayah, Abang-abang dan kakak-kakak, ajak minta maaf kerana banyak melakukan kesilapan sama ada secara langsung mahupun tak. Almaklumlah anak bongsu. Hehe.

Buat sahabat-sahabat yang jauh mahupun yang dekat, maafkan segala salah dan silap sepanjang perkenalan kita, terkasar bahasa, dan apa jua yang menyinggung perasaan anda semua. Sememangnya, kita manusia tak pernah terlepas dari membuat kesilapan.

"Allah menunjukan jalan kebenaran
dengan menurunkan Al-Quran
manusia meraih kebahagiaan
dengan meniti jalan kebenaran
hari lebaran menjadi penuh kebahagiaan
bila para sahabat saya memaafkan
semua kesalahan..."


Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin 2012..
iKhLaS dari : Abdul Razak Bin Nordin @ AJAK